PRU15: Kali pertama jadi calon, Khlir rampas mandat di Ketereh

in Politik by

Khlir – Foto Bernama

KOTA BHARU – Sokongan padu pengundi kawasan Ketereh memberi kemenangan besar buat calon Pas, Mejar Jeneral Datuk Khlir Mohd Nor di Parlimen itu apabila berjaya meraih majoriti 23,107 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang menjadi calon buat kali pertama di Parlimen Ketereh memperoleh 40,542 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Marzuani Ardila Ariffin (17,435 undi) diikuti calon Pakatan Harapan (PH), Rahimi L Muhamud (4,662 undi) dan calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Haneef Ibrahim (223 undi).

Keputusan itu sekali gus mengatasi jumlah undi yang diperolehi Tan Sri Annuar Musa (BN) pada PRU14 iaitu 25,467 undi dengan majoriti 4,626 undi.

Khlir memberitahu amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua warga Ketereh yang memberi kepercayaan kepadanya sehingga beliau menang bergaya di Parlimen itu.

“Alhamdulillah syukur pada ALLAH atas kejayaan ini. Tidak tergambar saya akan menang besar di kerusi kuat BN Kelantan ini.

“Kemenangan ini adalah kemenangan buat warga Ketereh kerana undi dan kepercayaan merekalah yang memenangkan saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Ahad.

Justeru katanya, beliau amat berterima kasih kepada semua pengundi dan juga jenteranya yang terdiri daripada parti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertungkus lumus memenangkannya dalam PRU15.

“Terima kasih juga kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga tentera di Kem Desa Pahlawan kerana menyokong saya sepenuhnya,” katanya.

Bekas Ketua Perisikan Tentera Darat itu memaklumkan akan menggunakan mandat yang diberi untuk membela nasib rakyat di Parlimen Ketereh termasuk nasib pesara dan anggota tentera.