PRU15: MB Johor gesa Ahmad Zahid berundur

in Nasional by

Dari kiri: Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ahmad Zahid.

JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa segera meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar meletakkan jawatan utama itu sebagaimana dilakukan Datuk Seri Najib Razak pada 2018.

Jelasnya, tindakan berjiwa besar ini akan membantu UMNO mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti.

“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.

“UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, pimpinan UMNO perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa PRU15, meskipun ia cukup pahit untuk ditelan.

“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.

“Kita semua perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti ini.

“Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang,” katanya.

Pada PRU15, BN hanya mendapat sembilan kerusi Parlimen di Johor iaitu di Parlimen Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong.