PRU15: Pengunduran Ahmad Zahid langkah ubah parti

in Politik by

Mohamad Fazli

PAGOH – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu melepaskan jawatannya sebagai tanda tanggungjawab serta langkah pertama perubahan parti seperti yang rakyat inginkan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlukan perubahan segera serta bangkit semula untuk menjadi wadah pilihan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berakhir dan menunjukkan parti Melayu UMNO dan gabungan BN tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu serta rakyat Malaysia.

“UMNO perlukan perubahan segera. Oleh itu saya menggesa agar Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional untuk melepaskan jawatan sebagai tanda tanggungjawab serta langkah pertama perubahan parti seperti yang rakyat inginkan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mohamad Fazli yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor menegaskan UMNO dan BN tidak ketandusan pemimpin yang berwibawa untuk membawa parti itu mendepani cabaran pada masa hadapan.

“Semoga UMNO mampu bangkit semula dan menjadi wadah pilihan orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Pada PRU15, BN hanya mendapat sembilan kerusi Parlimen di Johor iaitu di Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong.

Sementara di Parlimen Pagoh, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menang dengan majoriti 10,007 undi.

Beliau menewaskan Iskandar Shah dari Pakatan Harapan dan bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN).