PRU15: PH pertahan Sepang

in Politik by

Aiman Athirah Sabu

SEPANG – Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Parlimen Sepang apabila calonnya, Raj Muni@Aiman Athirah Sabu menang dengan majoriti 8,949 undi.

Mengikut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau yang mendapat undi sebanyak 56,264 menewaskan tujuh calon lain termasuk bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (PN) yang meraih 47,315 undi.

Selain itu, Aiman Athirah turut menewaskan Anuar Basiran daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 31,097 undi; Che Asmah Ibrahim (Pejuang) dengan 2,337; Daud Leong (PUR) 264 undi; Syahrul Amri Mat Sari (Bebas) 319, M.Muneswaran (Bebas) 194 undi dan Nageswaran Ravi (PRM) 165 undi.

Jumlah keseluruhan undi sebanyak 137,955 dan pengundi berdaftar seramai 168,039 manakala peratusan pengundi keluar mengundi adalah sebanyak 83.12 peratus.

Kerusi Parlimen Sepang yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Sepat, Sungai Pelek dan Dengkil pada PRU14 disandang oleh Mohamed Hanipa Maidin (PH).

Mohamed Hanipa menang dengan mendapat 46,740 undian dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau menentang Datuk Marsum Paing daripada BN yang mendapat 28,035 undi dan majoriti undian sebanyak 18,705.

Mohamed Hanipa memegang selama dua penggal kerusi Parlimen Sepang sejak tahun 2013.