Sabah, Sarawak sepakat sokong kerajaan bakal dibentuk

in Politik by

Hajiji ketika mengadakan sidang media perkembangan semasa politik di Sabah di Sri Gaya malam Sabtu. – Foto Bernama

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah dan Sarawak sepakat untuk menyokong kerajaan yang bakal dibentuk di peringkat Persekutuan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melalui panggilan telefon yang diterimanya.

Saya telah berbincang dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Jo dan kita sepakat untuk menyokong kerajaan yang akan dibentuk di peringkat Persekutuan yang boleh membawa kestabilan, bukan saja kepada negara kita tetapi di negeri Sabah.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) di Sabah menang 13 kerusi daripada 25 kerusi dan satu daripadanya Perikatan Nasional (PN) jadi 14 kerusi dan kerusi ini kita akan bawa untuk memberi sokongan kepada satu kerajaan yang boleh membawa kestabilan kepada negara kita terutama Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar di Sri Gaya di sini, pada pagi Ahad.

Ditanya mengenai gabungan kerajaan yang mana akan menjadi pilihan, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang rasmi diperoleh.

“Itu kita akan bincangkan tetapi kita lebih kepada kerajaan yang akan dibentuk sebuah kerajaan yang memberi kestabilan kepada Sabah, kita tidak boleh nyatakan di sini kerana kita belum dapat keputusan secara rasmi, jadi selepas itu kita buat satu lagi kenyataan,” katanya.