Speaker minta parti politik kemuka surat akuan berkanun

in Nasional by

Tan Sri Azhar Azizan Harun

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan telah mengutus surat kepada ketua dan setiausaha agung parti yang memenangi jumlah kerusi besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk pembentukan kerajaan baharu.

Azhar berkata, surat itu meminta parti terbabit mengemukakan nama parti-parti dan ahli-ahli Parlimen Bebas (sekiranya ada) yang bersetuju untuk menganggotai gabungan itu.

Katanya, gabungan berkenaan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan melalui surat akuan berkanun oleh ketua parti.

“Mereka juga diminta menamakan seorang daripada ahli Dewan Rakyat dalam gabungan mereka yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 melalui surat akuan berkanun dari setiap ahli Dewan Rakyat yang menganggotai gabungan tersebut yang dinyatakan dengan terang dan jelas.

“Dokumen-dokumen yang tersebut di atas perlu diserahkan ke Istana Negara selewat- lewatnya pada hari Isnin, 21 November 2022 sebelum jam 2 petang,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Azhar menjelaskan, surat itu dikirim bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu dilaporkan menitahkan agar ketua parti-parti politik dan gabungan parti mempunyai jumlah kerusi majoriti mengemukakan nama calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, Isnin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ketua parti perlu memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti- parti politik yang telah dipersetujui bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

Ia susulan keputusan PRU15 menyaksikan tiada gabungan parti yang memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menyebabkan Parlimen ketika ini dalam keadaan tergantung.

Mengikut keputusan rasmi PRU15 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi dan BN 30 kerusi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula memperoleh 22 kerusi, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (tiga kerusi), Bebas (dua kerusi) dan Parti Bangsa Malaysia (satu kerusi).