Tiada program isi minyak percuma esok

in Edisi Utara by

Muhammad Fawwaz nafi anjur program isi minyak percuma sempena meraikan kejayaannya dalam PRU15.

BUKIT MERTAJAM – Pemenang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan menafikan penganjuran program isi minyak percuma sempena meraikan kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang tular di media sosial pada Ahad.

Menurutnya, tiada sebarang arahan atau jadual ditetapkan untuk menganjurkan program berkenaan yang dikatakan akan diadakan di tiga buah stesen minyak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, pada Isnin.

Menyifatkan perbuatan itu adalah cubaan fitnah terhadapnya, Muhammad Fawwaz berkata, bukan begitu caranya untuk pihak berkenaan menyambut kekalahan mereka dalam pilihan raya kali ini.

“Tidak ada mana-mana arahan atau jadual yang ditetapkan untuk adanya isi minyak percuma.

“Sedangkan kerajaan Persekutuan pun sehingga kini masih kita tidak tahu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang menasihati pihak berkenaan untuk bertaubat dan kembali bertakwa kepada ALLAH.

Tegasnya, anak muda tetap akan bersama mereka yang benar malah beliau turut mendoakan agar mereka yang membuat fitnah dan adu domba itu diberikan kesedaran.

Dalam PRU15, Muhammad Fawwaz yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menang di kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 5,272 undi sekali gus menafikan penguasaan legasi keluarga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 40 tahun lalu di kerusi berkenaan.

Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi sementara Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, mendapat 32,366 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang) 473 undi.