Trump merajuk? Enggan guna Twitter lagi

in Global by

Pengguna Twitter menyokong langkah untuk mengembalikan semula akaun Trump menerusi keputusan majoriti tipis. – Foto Twitter/Donald Trump

SAN FRANCISCO – Akaun Twitter milik bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dikembalikan semula kepada pemimpin itu pada Sabtu selepas beliau dilarang menggunakan platform itu susulan insiden pencerobohan ganas ke atas Capitol pada 6 Januari 2021.

Langkah itu dibuat selepas bos baharu Twitter yang tidak lekang daripada kontroversi sejak mengambil alih syarikat itu, Elon Musk melakukan poll.

Keputusan menunjukkan majoriti tipis pengguna laman blog mikro itu menyokong tindakan tersebut, beberapa hari selepas bilionair hartanah berkenaan mengumumkan hasratnya mahu kembali bertanding pada 2024 untuk merebut jawatan di Rumah Putih.

Orang ramai telah bersuara. Twitter akan mengembalikan semula akaun Trump,” kata Musk menerusi Twitter tidak lama selepas poll selama 24 jam itu berakhir.

Pada tahun lalu, bilionair Amerika itu pernah membuat poll sama ketika meminta pendapat pengikutnya sama ada beliau wajar menjual saham Tesla miliknya yang turut menyaksikan Musk menjual syer lebih AS$1 bilion (RM4.5 bilion).

Sementara itu, Trump yang pernah mengecam tindakan tegas Twitter yang menyekat akaun miliknya memaklumkan beliau tidak akan kembali menggunakan platform popular itu.

Beliau yang tampil dalam satu acara di Las Vegas turut menyambut baik keputusan poll tersebut.

“Saya akan kekal menggunakan rangkaian media sosial sendiri, Truth Social,” ujarnya walaupun platform tersebut dikatakan kurang mendapat sambutan. – AFP

Info

>Lebih 15 juta daripada 237 juta pengguna harian Twitter terlibat poll tersebut. Kira-kira 51.8 peratus menyokong manakala 48.2 peratus menolak Trump diberikan semula akses untuk menggunakan akaun miliknya.

>Trump yang mempunyai lebih lapan juta pengikut ketika akaun peribadi miliknya itu digantung menggunakan Twitter sebagai platform untuk mengumumkan dasar, menyerang pesaing politik beliau dan berkomunikasi dengan penyokongnya.

>Pada Ahad, jumlah pengikut Trump meningkat kepada 10 juta orang.