Agrobank, Mydin jalin kerjasama di Kelantan

in Bisnes by

Tengku Ahmad Badli Shah (tiga dari kiri) dan Ameer (dua dari kanan) menandatangani satu perjanjian kerjasama strategik bagi membantu mengembangkan perniagaan pemborong Mydin Kelantan dengan menawarkan kemudahan pembiayaan modal kerja sehingga RM500,000.

AGROBANK menjalinkan kerjasama strategik dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) bagi memfokuskan pembangunan dan merancakkan aktiviti pemborongan di negeri ini menerusi kemudahan pembiayaan modal kerja sebanyak RM50,000 hingga RM500,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, menerusi kerjasama strategik itu pembiayaan yang diluluskan akan diberikan secara pusingan dengan jumlah minimum sebanyak RM50,000 kepada pemborong Mydin.

“Ia melibatkan tempoh pembiayaan sehingga satu tahun dengan kadar keuntungan yang kompetitif. Kerjasama di antara dua entiti yang termeterai ini adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan pusingan jangka pendek patuh syariah dan perkhidmatan perbankan kepada pembekal di Mydin Kelantan yang menjalankan aktiviti di sepanjang rantaian nilai agromakanan.

“Usaha ini sekali gus membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi dan perkembangan sektor pertanian serta agromakanan di negeri ini,” katanya pada majlis menandatangi antara Agrobank dan Mydin pada Jumaat.

Pada majlis tersebut Mydin diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Menurut beliau, usaha strategik ini merupakan platform bagi memacu kejayaan agropreneur serta merealisasikan matlamat Agrobank untuk pembangunan pertanian yang kukuh, progresif dan efisien.

Katanya, hal ini bagi memastikan kesejahteraan komuniti pertanian, kestabilan ekonomi serta keutuhan sekuriti makanan negara dalam jangka masa panjang.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, ia sejajar dengan tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ Agrobank untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan yang bertujuan untuk membantu usahawan ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Justeru, kami mengalu-alukan para pemborong Mydin Kelantan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan modal kerja yang ditawarkan,” katanya.