Akar umbi sokong Noh, gesa Ahmad Zahid letak jawatan

in Politik by

Salbiah (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas perhimpunan aman di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Tanjong Karang, pada Isnin.

TANJONG KARANG – Kira-kira 500 ahli akar umbi UMNO Bahagian Tanjong Karang berhimpun secara aman bagi menyatakan sokongan kepada Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perhimpunan kira-kira dua jam pada Isnin itu menyaksikan semua ahli akar umbi UMNO mengenakan pakaian hitam sebagai tanda solidariti terhadap Noh yang merupakan Ketua UMNO Bahagian itu sejak tahun 2004.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Tanjong Karang, Salbiah Saari berkata, semua akar umbi masih terkejut dengan keputusan Noh yang mengetuai UMNO Selangor meletak jawatan, namun masih kekal setia dengan kepemimpinan beliau sebagai ketua bahagian dan akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

“Justeru, kami mendesak Ahmad Zahid diminta segera berundur kerana menjadi punca kekalahan teruk BN di Selangor termasuk di Tanjong Karang,” katanya pada sidang akhbar pada perhimpunan itu di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini, pada Isnin.

Katanya, kegagalan Ahmad Zahid mencalonkan Noh membuktikan kerusi kubu kuat BN di Parlimen Tanjong Karang mengalami kekalahan.

“Tan Sri Noh yang tidak dicalonkan bukanlah tidak layak, tetapi atas dasar dendam dan tidak puas hati presiden menyebabkan kerusi Parlimen Tanjong Karang dan semua kerusi Parlimen di Selangor tewas serta beberapa negeri juga hilang kuasa dan ia menjadi kegagalan paling teruk,” kata beliau.

Ditanya tentang sejauhmana ahli akar umbi menyokong kepada pembentukan kerajaan baharu sama ada menyertai Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau pembangkang, Salbiah memberitahu, akar umbi menyerahkan kebijaksanaan Noh untuk membuat keputusan terbaik.

“Kami mengikut sahaja apa jua keputusan Ketua Bahagian UMNO Tanjong Karang (Noh) kerana beliau lebih arif tentang politik pada ketika ini,” kata beliau.

Noh pada Ahad secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Noh berkata, beliau masih Ahli Majlis Tertinggi (MKT) dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.