'Gabungan parti bentuk kerajaan tidak perlu libatkan DAP'

in Politik by

Hasni

JOHOR BAHRU – UMNO Johor berpendirian bahawa gabungan parti yang akan dibentuk bagi penubuhan sebuah kerajaan Persekutuan tidak perlu melibatkan parti DAP.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, keutamaan parti politik ketika ini adalah membentuk gabungan politik yang stabil.

“Selain itu, UMNO Johor berpendirian kerajaan Persekutuan ditubuhkan perlu berfungsi serta berfahaman sederhana (moderate) untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.

“Oleh yang demikian, UMNO Johor berpendirian bahawa gabungan politik yang dibentuk tidak perlu membabitkan DAP,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hasni yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, BN dan UMNO negeri menerima dan menghormati keputusan rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15)

Katanya, keputusan PRU15 cukup jelas dan adalah penzahiran kepada kematangan rakyat dalam mempraktikkan budaya demokrasi di Malaysia.

“Keputusan PRU15 juga adalah isyarat jelas rakyat kepada UMNO dan BN.

“Oleh yang demikian, UMNO Johor percaya bahawa Presiden akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya.

“Pemilihan UMNO yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan (restore) UMNO.

“Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar UMNO kembali diyakini semua rakyat Malaysia,” katanya.

Hasni yang menang kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU15 berkata, keputusan PRU di Johor akan diteliti secara mendalam supaya penambahbaikan dapat segera dilakukan.

“Melangkah ke hadapan, UMNO dan BN Johor akan terus diperkukuhkan,” katanya.

Untuk rekod, PRU15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan kerusi di Johor selain langsung tidak memenangi kerusi di Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu.