Ismail Sabri masih berfungsi sebagai Perdana Menteri sementara

in Nasional by

Shamrahayu

SHAH ALAM – Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berfungsi sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker’ sebelum kerajaan baharu dibentuk.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, buat masa ini Ismail Sabri juga masih menjadi Perdana Menteri caretaker mengikut amalan perlembagaan.

Jadi prinsip-prinsip kerajaan caretaker itu masih lagi terpakai. Walaupun baru-baru ini sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) kebanyakan menteri menganggap mereka telah mencapai hari akhir, perpisahan dan sebagainya.

“Namun dari segi undang-undang sememangnya kerajaan caretaker masih lagi berlangsung dan berfungsi sehingga kerajaan baharu dibentuk,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Situasi sama pernah berlaku di Belgium pada tahun 2010 hingga 2011 apabila kerajaan Belgium meneruskan pentadbiran selama 589 hari tanpa kerajaan yang dipilih, lebih setahun selepas pilihan raya umum diadakan pada Jun 2010.

Dalam pada itu, beliau menambah Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar dan polisi baharu walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

“Kerajaan sementara hanya boleh menjaga hal ehwal harian tetapi tidak boleh membuat keputusan mengenai dasar,” ujarnya.

Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.

Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU144) pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.