Kejutan PRU15, nama besar pun tewas

in Politik by

Gambar dari kiri: Dr Mahathir, Tengku Adnan, Zuraida, Mukhriz, Nurul Izzah

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menyaksikan pelbagai kejutan termasuk kejatuhan ‘pemimpin gergasi’ dalam politik negara.

Mengejutkan lagi adalah apabila salah seorang nama besar tersebut adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA).

Beliau yang bertanding di kerusi Parlimen Langkawi itu tewas pada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaimi Abdullah yang berjaya mendapat sebanyak 25,463 undi.

Dr Mahathir merupakan calon tertua dalam sejarah PRU, namun kali ini gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi daripada rebutan calon-calon lima penjuru termasuk daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PN dan Bebas.

Dalam pada itu, PRU kali ini juga memberi tamparan yang besar terhadap veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah apabila kalah buat pertama kalinya dalam sejarah karier politik beliau selama lebih 50 tahun.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li menyertai pilihan raya sejak 1969 melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kelantan Barat dan merupakan penyandang kerusi Parlimen Gua Musang selama 12 penggal.

Namun begitu, rekod kemenangan Ku Li sebagai ‘gergasi politik’ itu tidak berkekalan lama apabila PRU15 menyaksikan beliau kalah tipis kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti 163 undian.

Selain itu, PRU15 turut memperlihatkan kekalahan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar apabila tewas pada Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan di Parlimen Permatang Pauh.

Muhammad Fawwaz berjaya menawan kubu kuat PKR sejak 1982 itu melalui pengumpulan undi sebanyak 37,638 selepas mengalahkan Nurul Izzah yang hanya meraih 32,366 undi.

Di samping itu, Pengerusi Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga mengikuti jejak langkah ayahnya apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun dengan hanya 3,144 undi berbanding calon PN, Dr Abd Ghani Ahmad yang meraih 31,685 jumlah undi.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof juga tewas kepada calon PN, Mohd Misbabul Munir di Parlimen Parit Buntar.

Mohd Misbabul berjaya merampas kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti 5,395 undi selepas memperoleh 23,223 undi berbanding Mujahid sebanyak 17,828 undi.

Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga gagal mempertahankan rekodnya dalam menjaga Parlimen Putrajaya sejak 18 tahun yang lalu apabila Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berjaya mendahului undi dengan majoriti 830 undi.

Kekalahan tersebut ternyata memberi kejutan kepada Tengku Adnan apabila kerusi Parlimen Putrajaya yang dijaganya selama empat penggal itu akhirnya jatuh ke tangan calon PN.

Pada masa yang sama, calon PKR, Rodziah Ismail berjaya menawan semula kerusi Parlimen Ampang dan menewaskan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin dengan kemenangan majoriti 29,681.

Menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Rodziah yang menang di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) berjaya memperoleh undi sebanyak 56,754 undi menewaskan lapan calon lain yang bertanding.

Rodziah mendahului calon PN, Sasha Lyna Abdul Latif yang memperoleh 27, 073 undi dan calon BN, Ivone Low Yi Wen yang memperoleh 11, 509 undi dan calon Gerakan Tanah Air, Dr Nurul Ashikin Mabahwi yang memperoleh 2,653 undi.

Pada PRU14 lalu, Zuraida yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir juga tewas kepada calon PN, Nordin Ahmad Ismail di kerusi Parlimen Lumut.

Bekas Menteri Besar Perak itu kalah apabila memperoleh undi 24,849 berbanding Nordin yang mendapat 25,212 jumlah undi.