PH runding dengan BN bentuk kerajaan negeri Pahang

in Politik by

Ahmad Nizam

KUANTAN – Pakatan Harapan (PH) mengesahkan telah memulakan rundingan dengan BN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri Pahang.

Pengarah Strategi PH Pahang, Ahmad Nizam Hamid memberitahu demikian merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Isnin.

“Rundingan telah berjalan dalam suasana yang muhibah, santun dan dengan penuh keikhlasan berpaksi kepada keutamaan menjaga kemaslahatan rakyat Pahang dan memacu pembangunan pesat negeri.

“Saya boleh mengesahkan bahawa hasil perbincangan adalah positif ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak cenderung meneruskan agenda kepartian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau lagi, kenyataan bersama pimpinan BN dan PH Pahang akan menyusul dalam tempoh terdekat.

Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi manakala PH memperoleh lapan kerusi dengan enam daripadanya DAP, manakala PN mendapat 17 kerusi.

Terdapat 42 kerusi DUN di Pahang, namun proses pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hanya akan diadakan pada 7 Disember ini ekoran kematian calon PN di situ, Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15.