Prestasi buruk BN Perlis, Azlan kunci mulut

in Politik by

Fathul Bari (kanan) bersama akar umbi UMNO mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man melepaskan jawatan dalam parti.Azlan

KANGAR – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung kekalahan teruk BN Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, BN gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Susulan prestasi buruk BN Perlis itu juga timbul desakan daripada peringkat akar umbi supaya Azlan selaku Pengerusi BN negeri melepaskan jawatannya dalam parti.

Azlan ketika dihubungi Sinar Harian bagaimanapun enggan memberi sebarang kenyataan pada masa ini.

Ya, saya ada di Perlis. Saya baru balik dari Kuala Lumpur (selepas menghadiri Mesyuarat Khas Biro Politik UMNO semalam).

“Buat masa ini, saya tak bersedia nak jumpa sesiapa atau beri apa-apa komen. ‘No, no… Not this time’,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya mendesak Azlan dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur susulan kekalahan teruk BN pada PRU15.

**media[1994489]**

“Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya di Perlis, BN tewas di 15 kerusi DUN yang mana 14 kerusi itu dirampas Perikatan Nasional (PN) dan satu kerusi oleh Pakatan Harapan (PH). Ketiga-tiga kerusi Parlimen juga BN kalah.

“Dalam soal ini kita kena terima hakikat kekalahan itu. Saya tidak mahu menunding itu ini tetapi umum mengetahui bahawasanya kekalahan ini adalah dipengaruhi kempen dalam gerak kerja PN dan PH pada waktu itu iaitu satu undi kepada BN adalah satu undi kepada Ahmad Zahid.

“Jadi realitinya ini jelas dan kita bukan nak menghina atau menolak apa juga kebaikan kerana kita tahu Presiden banyak berkorban dan berjiwa besar untuk parti. Namun demi kelangsungan dan masa depan parti seperti mana yang pernah beliau pernah minta Datuk Seri Najib Razak supaya berundur selepas PRU14,” ujarnya kepada pemberita di sini pada malam Ahad.

Menurut Fathul Bari, Azlan juga perlu mengambil langkah sama dan diminta tidak berdiam diri sahaja.

“Di peringkat negeri, Datuk Seri Azlan Man perlu ambil tanggungjawab yang sama, jangan berdiam diri sahaja. Kita menghormati beliau sebagai Pengerusi BN negeri, Ketua Umno Bahagian Kangar, bekas Menteri Besar yang banyak berjasa kepada parti dan negeri.

“Namun dalam soal ini, kelemahan dan kekalahan yang berlaku sungguh teruk sekali dan memang betul, ia adalah gelombang.

“Tapi pada masa sama, perlu diingatkan juga sokongan dan dukungan yang diambil adalah punca dan akibat datangnya gelombang itu jadi kita juga minta supaya beliau bertanggungjawab atas hal itu,” katanya.