'Saya minta dia dapatkan jersi Messi'

in Sukan by

Cash (kiri) dan Martinez merupakan rakan sepasukan di Aston Villa. – Foto Agensi

TONGGAK pertahanan Poland, Matty Cash berharap rakan sepasukan di Aston Villa yang juga penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez dapat menunaikan hasratnya apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Kumpulan C Piala Dunia di Stadium 974 pada 1 Disember depan.

“Tidak ada taruhan. Saya meminta dia untuk mendapatkan jersi Messi, jika itu boleh.

“Jelas sekali apabila melangkah di padang, kami menjadi saingan walaupun rakan sepasukan di Villa. Ia satu lagi perlawanan besar menentang lawan yang sangat kuat,” kata pemain berusia 25 tahun tersebut.

Di Qatar, pertahanan kelahiran Inggeris tersebut akan bermain kejohanan besar pertamanya bersama Poland selepas diberikan kerakyatan tahun lalu.

“Semua orang mengimpikan untuk bermain di kejohanan besar dan ia telah tiba sekarang (di Piala Dunia), yang benar-benar mengujakan.

“Saya sangat suka tekanan. Saya mahu membuktikan diri saya di pentas terbesar dan inilah masanya untuk melakukannya,” kata Cash yang memiliki tujuh penampilan bersama Poland, mendapat kerakyatan melalui ibu dan datuknya.

Untuk rekod, Poland memulakan kempen kumpulan Piala Dunia menentang Mexico di Stadium 974 pada awal pagi Rabu, yang disifatkan Cash sebagai pasukan yang sangat kuat.

“Mexico bagus tetapi kami harus percaya Poland lebih baik. Dalam kem Poland, kami perlu fokus pada diri sendiri dan memperbaiki diri,” katanya.