Selangor dapat semangat baharu

in Sukan by

Yazan Al Arab

SELANGOR FC mendapat semangat baharu apabila tonggak pertahanan, Yazan Al Arab sah akan diturunkan dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Terengganu FC (TFC) pada Isnin.

Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe berkata, kehadiran Yazan yang sebelum ini disisihkan susulan mendapat panggilan beraksi bersama negaranya, Jordan mampu memperkukuhkan lagi barisan pertahanan Gergasi Merah.

“Yazan akan kembali bersama pasukan ini. Saya lihat kedatangannya semula ini boleh tambah lagi kestabilan di bahagian pertahanan dalam pasukan.

“Seperti kita tahu, kita memerlukan barisan pertahanan yang kuat bagi mengekang barisan serangan Terengganu yang cukup hebat lagi-lagi apabila kita lawan pasukan itu di laman mereka sendiri.

“Jadi saya percaya dengan kehadiran semula Yazan dan beberapa pertahanan lain seperti Richmond yang beraksi dengan baik pada perlawanan sebelum ini, ia akan memperkukuhkan lagi benteng pertahanan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe seakan-akan mahu berahsia mengenai taktikal yang dirancangnya apabila berdepan TFC dalam aksi separuh akhir kedua tersebut.

Menurut Cheng Hoe, walau apa taktikal yang akan digunakan, beliau berharap anak-anak buahnya sentiasa bersedia sambil mengekalkan momentum yang sama seperti yang dipamerkan sebelum ini.

“Seperti kita tahu, bukan senang untuk bermain secara bertahan kerana Terengganu mempunyai rangkaian serangan yang cukup baik. Malah, kalau kita bermain terlalu menyerang, kita mungkin akan dihukum.

“Jadi apa-apa percaturan nanti, saya harap mereka bersedia. Saya juga harap mereka tidak terlalu selesa dengan kelebihan dua gol yang ada,” ujarnya.