Tiada bantahan, semua ADUN BN sokong: Saarani

in Politik by

Saarani Mohamad

IPOH – Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan, tiada bantahan diterima dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung keputusan parti itu menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, semua sembilan wakil rakyat yang diwakili lapan UMNO dan seorang ADUN MCA menyokong usaha berkenaan dalam memastikan proses pembentukan kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini berjalan lancar.

“Setakat ini tidak ada (bantahan). Kalau kita menghadap tuanku untuk sembah maklum, maknanya kita mempunyai cukup angka (untuk membentuk kerajaan negeri),” katanya kepada pemberita selepas selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini pada Isnin.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN kehilangan banyak kerusi apabila sekadar memperoleh sembilan kerusi iaitu di DUN Temengor, Kota Tampan, Lintang, Belanja, Pengkalan Baharu, Ayer Kuning, Rungkup, Behrang (UMNO) dan Chenderiang (MCA).

Sementara itu, pimpinan parti komponen PH turut menyambut baik jalinan kerjasama antara dua parti berkenaan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Asmuni Awi berkata, gabungan dua parti besar itu mampu membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil di negeri ini.

“Ini juga sebagai memenuhi hasrat rakyat yang ingin melihat kerajaan baru ini mentadbir negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi satu video yang dikongsi kepada media.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang berkongsi di laman Facebook mengenai kerjasama yang akan dibentuk bersama BN.

“PH akan membentuk kerajaan negeri Perak bersama dengan BN,” tulisnya.