Tok Mat cadang PN, PH bergabung tubuh kerajaan

in Politik by

MOHAMAD

SHAH ALAM – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangka Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung menubuhkan kerajaan kerana mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, BN pula bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab untuk semak dan imbang kerajaan baharu.

“Kami BN menerima keputusan rakyat yang menolak BN. Maka kami ini tak ada kuasa untuk menubuhkan kerajaan.

“Saya cadangkan biarlah PN dan PH bergabung tubuh kerajaan sebab mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam Isnin.

Bagaimanapun Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan, jika bantuan BN diperlukan dalam waktu peralihan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, pihaknya tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.

“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat.

“Kami hanya menghormati keputusan itu. Semoga Malaysia sentiasa berada dalam peliharaan ALLAH SWT jua,” katanya.

Dalam PRU15 pada Sabtu lalu, BN berjaya memenangi sebanyak 30 kerusi Parlimen dan dianggap sebagai prestasi paling buruk dalam sejarah.

Bagaimanapun, tiada mana-mana parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

Atas sebab itu, BN kini menjadi penentu bagi mewujudkan sebuah kerajaan baharu dengan jumlah kerusi yang mereka ada.

Pada ketika ini, PH mempunyai sebanyak 82 kerusi manakala PN mempunyai 73 kerusi.

Bagi membentuk kerajaan, sesebuah parti memerlukan sebanyak 112 kerusi Parlimen.