Tolak kerjasama PH, ketegasan Ismail Sabri dipuji: Annuar

in Politik by

Ismail Sabri, Annuar

SHAH ALAM – Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa memuji ketegasan Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang istiqamah mempertahankan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga turut terharu dengan ketegasan ahli-ahli Parlimen BN, khususnya Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang tegas mempertahankan keputusan berkenaan.

Saya selaku antara individu yang banyak terlibat dengan pelbagai keputusan dan dasar parti sekian lama terutama ketika menjadi ahli Parlimen, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Setiausaha Agung parti dan sebagainya merasakan sampailah masanya pencerahan dibuat.

“Ini demi kepentingan ahli parti mengetahui perkara sebenar berhubung banyak perkara yang tidak dikongsikan sebelum ini,” katanya di Facebook pada Isnin.

Sinar Harian terdahulu melaporkan seramai 26 ahli Parlimen BN hadir dalam perjumpaan bersama parti itu dan PH di sebuah hotel pada Isnin.

Bagaimanapun, dua lagi tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.

Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, atas permintaan ramai pihak, beliau akan menjawab semua soalan dalam sesi ‘Tiada Apa Perlu Disembunyikan Lagi’ menerusi siaran langsung di akaun Facebook miliknya dan saluran berkaitan pada jam 9 malam ini.