APM Kedah siap sedia hadapi banjir ketika PRU Padang Serai

in Edisi Utara by

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob (tengah) ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Setia APM Kedah di Auditorium Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Setar.

ALOR SETAR – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah akan menempatkan sepasukan anggota untuk bertugas ketika tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, seramai 33 petugas terdiri daripada anggota APM Kulim akan ditempatkan di bilik gerakan di kawasan Padang Serai terbabit.

Beliau memaklumkan, petugas terbabit akan bertugas untuk membantu mengawal keadaan dan memberi bantuan pada tarikh penting dan keadaan kecemasan ketika penamaan calon dan sebagainya.

“Ketika penamaan calon baru-baru ini (sebelum proses pengundian ditangguhkan), kita memang ada membuka bilik gerakan di Padang Serai.

“Sepasukan anggota terbabit dihantar untuk bertindak dan memberi bantuan untuk sebarang kemungkinan atau pun bencana ketika tempoh pilihan raya di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, sedemikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Setia APM Kedah di Auditorium Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Setar, di sini, pada Selasa.

Menurut Awang Askandar, jumlah anggota ditempatkan di kawasan Padang Serai itu tidak termasuk lebih 1,100 petugas yang bersiap sedia ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Dalam perkembangan sama, Awang Askandar memberitahu, keadaan paras air di Kedah masih terkawal ketika ini meskipun hujan dijangka berterusan selama dua hari.

Ia berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Isnin mengeluarkan amaran hujan tahap waspada di Utara Semenanjung Malaysia termasuklah Kedah selama dua hari.

Bagaimanapun, kata beliau, APM Kedah sentiasa dalam keadaan bersiap siaga sepanjang MTL daripada bulan ini hingga Mac tahun depan.

Tambah beliau, pihak APM Kedah juga sentiasa mengikuti perkembangan air pasang di Kedah daripada semasa ke semasa, selain membimbing dan melatih komuniti setempat bersiap siaga berdepan situasi tidak dijangka.

Sebelum itu, Sinar Harian antara media yang menerima penghargaan APM Kedah atas komitmen dan kerjasama jitu dalam menghebahkan berita dan maklumat daripada APM kepada masyarakat secara lebih tepat.