Bajet Selangor 2023 fokus kepada kemelesetan ekonomi

in Edisi by

Amirudin
PETALING JAYA – Bajet Selangor 2023 akan memfokuskan kepada strategi mendepani gelombang kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau memaklumkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijadual bermula Rabu, diikuti dengan pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat yang akan turut menitikberatkan aspek yang mampu memberi kebaikan kepada golongan muda, wanita dan kegiatan ekonomi.

“Ada beberapa insentif yang kita akan fokuskan terutamanya untuk anak muda, wanita serta memperkasakan kegiatan ekonomi supaya kelembapan atau ketidaktentuan ekonomi berjaya diatasi oleh negeri (Selangor) yang menjadi nadi penting negara.

“Sudah pasti kita mahu mendepani cabaran tahun depan supaya Selangor bukan sahaja boleh menahan uji tetapi juga boleh menongkah arus,” katanya.

Amirudin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Selangor Masters Golf 2022 di Kelab Golf Seri Selangor, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, tumpuan berkenaan diberi berikutan keadaan ekonomi yang dijangka mencabar pada tahun depan disebabkan krisis bekalan, serta geopolitik yang tidak seimbang di samping kesan daripada pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sabtu lepas, Amirudin yang juga ahli Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi Parlimen Gombak daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila memperoleh majoriti undi 12,729.- Bernama