Banjir: Lima PPS dibuka di Kuala Selangor

in Edisi by

Tangkap layar ciapan Twitter Juwairiya pada Selasa.

SHAH ALAM – Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir dibuka di Kuala Selangor iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Bandar Baru pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, setakat ini empat PPS sudah dibuka di daerah itu menempatkan 167 mangsa banjir membabitkan 51 keluarga.

“Sebuah lagi PPS (baharu) dibuka iaitu di Dewan MPKS Bandar Baru menempatkan sembilan keluarga mangsa banjir dari Kampung Tanjung Siam selain PPS Sekolah Kebangsaan Bandar Baru yang dibuka tiga hari lalu melibatkan 30 keluarga dari Kampung Asahan.

“Hujan berterusan dan air pasang besar bertembung menyebabkan limpahan air Sungai Selangor ke kawasan perkampungan,” ciapnya di laman Twitternya pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga pam air telah ditempatkan di Kampung Asahan bagi mengepam air keluar dari kawasan rendah dan ‘air termenung’.

Sementara itu, selain di Kuala Selangor, fenomena air pasang besar juga dijangka melanda daerah Klang mulai Selasa hingga Ahad ini.

Pejabat Daerah dan Tanah Klang menerusi laman Facebooknya memaklumkan orang ramai diminta berwaspada kerana berisiko menyebabkan bencana banjir dan runtuhan ban.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) mengingatkan semua warga Klang untuk sentiasa peka dan cakna dengan keadaan semasa alam sekeliling.

“Sentiasa dapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dan arahan lanjut pihak agensi kerajaan bertanggungjawab. Bilik gerakan bencana turut dibuka mulai 22 hingga 27 November,” kata kenyataan.