Kemenangan hasil kerja keras PN Padang Terap

in Politik by

Nurul Amin HamidNurul Amin sujud syukur selepas beliau diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Padang Terap di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Kuala Nerang pada Sabtu lalu.Nuru Amin (duduk empat kanan) semasa program turun padang bertemu golongan belia di Parlimen Padang Terap.

PADANG TERAP – Pegawai Khas Kanan kepada Menteri Besar Kedah, Nurul Amin Hamid yang menang di kerusi Parlimen Padang Terap pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) akan memperjuangkan agenda membantu meningkatkan pendapatan penduduk B40 terutamanya golongan penoreh getah dan penjaja kecil.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Kedah menewaskan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di kerusi Parlimen Padang Terap pada PRU15 dengan majoriti 10,959 undi.

**media[1995104]**

Jelasnya, kemenangan besar yang diraih itu disifatkan sebagai luar biasa dan kesan daripada tsunami Perikatan Nasional (PN) di seluruh negara yang mana rakyat mahukan perubahan terutamanya generasi muda.

“Kejayaan di Padang Terap sehingga boleh mengalahkan calon ‘heavyweight’ iaitu Naib Presiden UMNO sendiri adalah hasil kerja keras jentera pilihanraya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan ini dan jumlah majoriti kemenangan juga melebihi sasaran.

“Fokus selepas menjadi Ahli Parlimen adalah akan terus membantu golongan B40 di Parlimen Padang Terap yang majoriti penduduknya mencari pendapatan sebagai penoreh getah.

“Saya juga menerima aduan daripada penjaja kecil yang memerlukan perhatian kerajaan berikutan mereka juga sering terputus pendapatan semasa musim hujan kerana jualan seperti di pasar pagi atau malam tidak laris,” katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Jelasnya, pembangunan infrastruktur juga akan diberikan tumpuan di beberapa kawasan di parlimen tersebut untuk dibangunkan antaranya di Durian Burung dan Naka.

“Saya mengharapkan agar pembentukan kerajaan di peringkat persekutuan dapat dibentuk oleh PN bersama gabungan lain kerana jika PN berjaya membentuk kerajaan sudah tentu akan memudahkan urusan untuk memohon kerjasama Kerajaan Persekutuan membawa pembangunan di Parlimen Padang Terap.

“Antara kawasan yang perlu dibangunkan adalah kawasan Durian Burung yang merupakan laluan sempadan Malaysia-Thailand di daerah Padang Terap selain pekan Naka yang masih memerlukan banyak pembangunan antaranya pasar, pejabat pos dan bank,” ujar Nurul Amin.

**media[1995116]**

Menurutnya, urusan untuk membantu rakyat di Padang Terap juga menjadi lebih mudah melalui kerjasama Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria dan ADUN Pedu, Md Radzi Md Amin yang masing-masing daripada Pas.

Pada PRU15, Nurul Amin daripada PN menerima undi sebanyak 28,217 menewaskan Mahdzir (Barisan Nasional-17,258), Muaz Abdullah (Pakatan Harapan-2,702) dan Razali Lebai Salleh (Pejuang-452).

PROFIL USTAZ NURUL AMIN

Nama: Nurul Amin Hamid

Umur: 39

Isteri: Bushra Mazani

Anak: 4

Kerjaya

2020-2022: Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Kedah

2018-2020: Guru Besar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Nurul Hidayah, Naka

2007 – 2018: Pegawai Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), SM Agama As-Siddiqiah, Naka, SM Agama Al-Khairiah, Kampung Barokhas, Kuala Nerang

Pendidikan

Sarjana Muda Kepujian, Usuluddin dan Dakwah Universiti A-Azhar, Mesir

Politik

Exco Pemuda Pas Malaysia

Ketua Pemuda Pas Kedah

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Kedah

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya Pas Kedah