Lebih elok BN jadi pembangkang: Hishammuddin

in Politik by

Hishammuddin

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berpendapat BN harus berperanan sebagai pembangkang sekiranya tiada kata putus yang diperoleh bagi membentuk kerajaan.

Menurutnya, beliau juga bersedia menjadi pembangkang di Dewan Rakyat dan menegaskan dalam apa jua formula atau rundingan, pendiriannya jelas dan tidak akan berkompromi.

“Apa jua yang terjadi, saya akan tetap setia bersama UMNO dulu, kini dan selamanya serta akan bekerja keras demi memulihkan UMNOserta BN bersama rakan-rakan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Hishammuddin menyatakan beliau rela dipecat oleh parti daripada menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau tidak akan sesekali mengubah pendirian berhubung penolakan untuk bekerjasama dengan PH.

Dalam keputusan PRU15 pada Sabtu, BN kalah teruk di peringkat Parlimen dengan memperoleh 30 kerusi selain turut tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Perak dan Pahang.