MB Perlis tidak kisah dipanggil Cikgu Shukri

in Nasional by

Mohd Shukri Ramli

KANGAR – “Tak ada masalah untuk panggil saya Cikgu Shukri, lebih cepat saya beralih. Kalau panggil YB (Yang Berhormat) lambat sikit.”

Demikian reaksi Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli apabila ditanya mengenai panggilan cikgu yang sudah begitu sinonim dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu dalam kalangan rakyat Perlis.

Menurut Mohd Shukri, beliau tidak melihat panggilan tersebut sebagai satu masalah malah membuatnya lebih selesa seperti berada dalam kalangan kawan yang saling mengenali.

“Yang panggil cikgu ini, semua mengenali saya. Kalau panggil YB ini, saya faham orang baharu. Panggil cikgu ini adalah kawan lama. Jadi tidak jadi masalah (panggil cikgu),” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis kelapan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Arau.

Mohd Shukri telah dinamakan sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan Menteri Besar baharu selepas PN berjaya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PRU-15 menyaksikan PN berjaya meraih kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali di Indera Kayangan yang dimenangi calon Pakatan Harapan, Gan Ay Ling.

Berhubung pelantikannya sebagai Menteri Besar, Mohd Shukri berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk melaksanakan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat Perlis semasa kempen PRU15.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan sebelum ini kerana banyak juga meninggalkan projek-projek pembangunan. Bagi projek yang sudah dimulakan, kita akan teruskan.

“Sementara projek yang belum dilaksanakan, kita akan kaji semula. Kalau ia munasabah dan baik untuk rakyat, kita akan teruskan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri memberitahu, PN akan menggunakan formula enam dan tiga berhubung nisbah pembahagian jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Perlis yang baharu.

“Setakat ini, saya sudah putuskan enam daripada Pas dan tiga lagi Bersatu (Parti Pribumi Bersatu). Semuanya sembilan orang dan 10 jika termasuk saya sebagai Menteri Besar,” katanya.

Majlis mengangkat sumpah Exco Kerajaan Negeri Perlis dijadualkan berlangsung pada Jumaat di Istana Arau, Arau.