'Mudah-mudahan hari ini pembentukan kerajaan' – Agong

in Politik by

Al-Sultan Abdullah berkenan bertemu media di Pintu 2, Istana Negara. – FOTO RAFEQ REDZUAN

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengharapkan kerajaan baharu dapat dibentuk segera, seawal Selasa.

Seri Paduka Baginda yang tiba di Istana Negara melalui pintu dua pada jam 2.20 petang bertitah, tidak dapat memberikan masa yang tepat bila kemelut pembentukan kerajaan dapat diselesaikan.

“Mudah-mudahan hari ini (selesai), Insya-ALLAH. Saya tak berani nak kata.

“Saya harap semua bersabar. Terima keputusan rakyat, wakil rakyat dan Yang di-Pertuan Agong,” titahnya ketika ditemui media di luar Istana Negara pada Selasa.

Ketika ditanya nasihat Seri Paduka untuk rakyat, Al-Sultan Abdullah berkata, semua pihak perlu bersikap rasional.

“Be rational and we have to move on untuk negara kita yang tercinta,” titahnya.

Pada Isnin, Al-Sultan Abdullah menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ketua-ketua parti yang memiliki majoriti terbanyak itu perlu memaklumkan perkara tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum diserahkan kepada Istana Negara.

Bagaimanapun, Seri Paduka Baginda memberi perkenan untuk melanjutkan proses mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga jam 2 petang Selasa.

Ia susulan permohonan daripada ketua dan gabungan parti politik untuk melanjutkan masa.