Portfolio Exco Perak diketahui esok

in Politik by

Mohammad Nizar

KUALA KANGSAR – Portfolio bagi semua Exco Kerajaan Negeri Perak yang dilantik pada Selasa dijangka diketahui esok ketika mesyuarat pertama di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu.

“Insya-ALLAH esok pagi (Rabu) kita akan mula mesyuarat Exco pertama. Kami akan pergi pejabat Exco masing-masing dan esok pukul 9 pagi kita akan ada mesyuarat Exco untuk tentukan portfolio-portfolio setiap Exco itu.

“Buat masa ni belum ada penentuan Exco mana pegang jawatan (portfolio) yang mana. Esok baru tentukan,” katanya ketika ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri di sini pada Selasa.

Pada Selasa, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Tiga daripada ADUN berkenaan merupakan wakil rakyat BN daripada UMNO iaitu Datuk Zolkafly Harun (Lintang); Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairuddin Abu Hanipah (Belanja).

Manakala tujuh lagi merupakan gabungan parti daripada PH iaitu empat wakil DAP, A Sivanesan (Sungkai), Loh Sze Yee (Jalong), Teh Kok Lim (Aulong) dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar).

Turut mengangkat sumpah dua ADUN PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sandrea Ng Shy Ching (Teja) dan Mohd Azlan Helmi (Tualang Sekah).

Mohammad Nizar yang juga ADUN Sungai Rapat pula menjadi wakil tunggal Parti Amanah Negara (Amanah).