Raja Perlis berkenan majlis angkat sumpah MB hari ini

in Edisi Utara by

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail

ARAU – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan agar Majlis Istiadat Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang baharu diadakan di Istana Arau pada 4 petang ini.

Istana Arau dalam kenyataan memaklumkan pada majlis tersebut seorang calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi pilihan raya baru-baru ini akan dianugerahkan tauliah pelantikan daripada Raja Perlis dan seterusnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di hadapan baginda.

Menurut kenyataan itu, pada petang semalam, Tuanku Syed Sirajuddin diiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap taaruf secara seorang demi seorang oleh kesemua 14 ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) selepas PN berjaya membentuk kerajaan melalui kemenangan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi DUN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 di negeri ini Sabtu lepas.

Pada malam sebelumnya, Tuanku Syed Sirajuddin juga turut berkenan menerima menghadap Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah mempersembahkan surat cadangan nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu daripada Pengerusi PN untuk pertimbangan dan limpah perkenan baginda.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Bendahari Agung PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – Bernama