WHO beri amaran jutaan rakyat Ukraine diancam musim sejuk

in Global by

Rakyat Ukraine berdepan ancaman maut selepas kemudahan tenaga rosak teruk dibedil Rusia. – Agensi

KIEV – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa musim sejuk akan tiba ‘bakal mengancam jutaan rakyat Ukraine’ selepas siri serangan Rusia terhadap kemudahan bekalan elekrik di negara tersebut.

“Ringkasnya, musim sejuk ini bakal menentukan bagaimana jutaan rakyat Ukraine akan bertahan,” kata Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge, kepada media.

Katanya, kesan kerosakan terhadap infrastruktur tenaga Ukraine disebabkan serangan peluru berpandu telah menjejaskan sistem kesihatan rakyat negara dilanda peperangan itu.

Kluge menambah, WHO telah merekodkan lebih 700 serangan Rusia terhadap infrastruktur kesihatan Ukraine sejak Februari lalu.

“Rusia secara jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Serangan berterusan ke atas infrastruktur tenaga akan menyebabkan kemudahan penjagaan kesihatan tidak lagi beroperasi sepenuhnya.

“Kami menjangkakan dua hingga tiga juta rakyat Ukraine akan meninggalkan rumah mereka untuk mencari kawasan beriklim panas dan selamat,” ujar Kluge. – AFP