Bebaskan Zahid, Guan Eng bukan intipati perjanjian BN-PH

in Khas by

Shamsul IskandarMohd Razlan Rafii

SHAH ALAM – Membebaskan pemimpin ‘kluster mahkamah’ dari UMNO bukan intipati perjanjian kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha membentuk kerajaan perpaduan melibatkan dua pakatan koalisi politik itu.

Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam pertemuan rasmi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan BN, sebelum ini termasuk perjumpaan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Jadi kata Shamsul Iskandar, tidak timbul soal BN meletakkan syarat supaya semua kes mahkamah membabitkan pemimpinnya terutama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi perlu digugurkan jika PH mahu mereka menyokong pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Shamsul Iskandar menambah, jika badan eksekutif kerajaan perpaduan yang bakal ditubuhkan bertindak campur tangan dalam sistem kehakiman membabitkan kes mahkamah Presiden UMNO mahu pun pembangkang lain, maka ia akan mencemarkan imej PH sendiri.

Sehubung itu, Shamsul Iskandar memberi jaminan sebagai sebuah parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, PH tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah.

“Saya percaya di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan campur tangan bukan hanya dalam perbicaraan kes membabitkan Presiden UMNO, malah pemimpin PH seperti Lim Guan Eng (Pengerusi DAP) dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya percaya Anwar akan berpegang teguh kepada prinsip ‘the rule of law’ kerana beliau sendiri pernah menjadi mangsa. Jadi saya percaya beliau tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan undang-undang.

“Biarlah Guan Eng, Syed Saddiq atau sesiapa sahaja pemimpin PH yang sedang dibicarakan di mahkamah membersihkan diri masing-masing melalui sendiri proses perundangan sama sehingga selesai”, katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Bagaimanapun, Shamsul Iskandar berkata, PH akan memastikan setiap orang yang didakwa dan dituduh itu bakal diadili dengan saksama dan seadilnya serta bebas daripada sebarang tekanan atau campur tangan politik.

“Malah, semasa menjadi Timbalan Menteri Industri Utama pada 2018, saya sendiri sering berulang alik ke mahkamah untuk dibicarakan dan diadili berhubung kes menghadiri perhimpunan aman sehinggalah mahkamah membebaskan saya daripada kes berkenaan.

“Saya sendiri tidak pernah meminta kes berkenaan digugurkan biarpun PH menguasai Putrajaya pada 2018 dan terpaksa mengambil cuti untuk menghadiri perbicaraan kes terbabit.

“Justeru, saya juga yakin bahawa tidak wujud perjanjian sama ada bertulis atau mulut untuk membebaskan pemimpin UMNO mahu pun PH daripada kes mahkamah dihadapi selepas kita membentuk kerajaan perpaduan nanti,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Iskandar berkata, beliau tetap yakin Anwar akan dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi Perdana Menteri ke-10 kerana sehingga kini Ahli Parlimen Tambun itu sudah mendapat sokongan daripada 115 Ahli Parlimen termasuk dari PH, BN dan Warisan.

“Saya melihat dari segi kenyataan media jelas menunjukkan BN menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri jadi saya percaya tiada halangan untuk beliau dipilih menerajui negara kali ini,” katanya.

**media[1997912]**

Razlan tak setuju BN tawar CSA

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii tidak bersetuju perlunya Barisan Nasional (BN) menawarkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) kepada mana-mana gabungan parti politik dalam pembentukan kerajaan.

Beliau sebaliknya berpandangan, apa diperlukan adalah satu gabungan parti yang boleh mentadbir negara ini seperti biasa.

“Sebab saya dapat berita tadi ada antara pemimpin BN yang berjumpa dengan Perikatan Nasional (PN). Maksudnya malam ini kita ada mesyuarat MKT dan saya percaya ia akan melihat apakah kepentingan kedua-dua pihak (PH atau PN) untuk bergabung dengan kita.

“Jadi kita akan kembali kepada Istana Negara untuk memaklumkan perkara-perkara ini,” katanya ketika menjadi panelis dalam Program Sinar Live bertajuk ‘PM Muhyiddin atau Anwar’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis adalah Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor manakala Hazwan Mokhtar bertindak sebagai moderator.

Muhamad Nadzri sebelum ini mencadangkan agar BN menawarkan CSA kepada mana-mana gabungan parti politik bagi membolehkan semua pihak keluar daripada kebuntuan kemelut politik yang melanda ketika ini.

Dalam pada itu, Mohd Razlan turut tidak bersetuju dengan gesaan sesetengah pihak agar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebagai tanggungjawab atas kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya tak setuju. Sebab kita lihat tidak akan selesaikan masalah depan mata. Masalah depan mata ini adalah masalah rakyat.

“Masalah yang kita tahu bahawasanya tidak boleh melepaskan parti ini dengan memperjudikan tidak mempunyai kerajaan,” katanya.

Beliau juga menolak pandangan sesetengah pihak yang mengatakan BN kalah dalam PRU15.

“Pandangan saya ia tidak benar sebab semua kalah. PH kalah, PN kalah dan BN kalah. Jadi kita kena berjiwa besar dan fikirkan bagaimana nak bergerak ke hadapan,” katanya.