BN mohon tangguh menghadap Agong

in Politik by

Sin Woon ketika ditemui pemberita di ibu pejabat UMNO pada Selasa.Sin Woon

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] BN akan memohon perkenan untuk menangguhkan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi Rabu.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, BN juga masih kekal dengan pendirian dibuat sebelum ini untuk tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.

“Kita mengekalkan keputusan pagi hari ini (Selasa) untuk tidak memihak kepada sesiapa.

“Jadi, terpulanglah kepada Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk memaklumkan kepada tuanku,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat UMNO pada Selasa.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat BN menghadap secara individu pada jam 10.30 di Istana Negara pagi Rabu.

**media[1996597]**

Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, pertemuan itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua gabungan PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 4.30 petang Selasa.

Sin Woon dalam masa sama menambah, tiada sebarang akuan berkanun (SD) yang ditandatangani oleh 30 ahli Parlimen BN.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup turut memaklumkan bahawa permohonan itu sudah dihantar kepada Istana Negara malam ini.

Beliau berkata, beberapa perkara masih diteliti sebelum sebarang keputusan mengenai sokongan terhadap calon Perdana Menteri ke-10.

“Kita akan buat keputusan selepas perundingan namun beberapa perkara masih belum selesai (mengenai sokongan calon Perdana Menteri ke-10),” katanya.