BN perlu tawar CSA kepada gabungan parti politik

in Politik by

Muhamad Nadzri – Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

SHAH ALAM – Strategi semasa BN untuk kekal sebagai sebagai pembangkang tidak akan menjadi masalah, kata Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Bagaimanapun menurut beliau, BN perlu menawarkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) kepada mana-mana gabungan parti politik untuk keluar daripada kebuntuan pada ketika ini.

Muhamad Nadzri berkata, perkara itu pernah dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini di mana gabungan berkenaan kekal bebas pada penggal yang lalu selepas mereka dijatuhkan.

“Tidak ada pula PH bersama-sama kerajaan Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Tetapi mereka melakukan tadbir urus secara bersama melalui CSA itu dan benda ini juga perkara yang bagus.

“Kita faham BN agak ke tengah dan konservatif sikit. Ini bagus untuk semak dan imbang. Sebab kita masyarakat pelbagai ideologi, nilai, etnik, wilayah dan sebagainya tetapi perikatan tadi ini baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Mereka mewakili segmen-segmen berbeza yang mana untuk kita hidup secara saksama dan bersama, perlu ada semak dan imbang,” katanya ketika menjadi panel dalam Program Sinar Live bertajuk ‘PM Muhyiddin atau Anwar’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panel adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii; Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, manakala Hazwan Mokhtar bertindak sebagai moderator.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, Dewan Tertinggi BN membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

Ismail Sabri berkata, BN tidak menyokong PH mahupun Perikatan Nasional (PN).