Bruce Lee meninggal dunia akibat terlebih minum air?

in Global by

Bruce Lee. – Agensi

NEW YORK – Pelakon seni bela diri Hong Kong-Amerika, Bruce Lee yang meninggal dunia pada tahun 1973 ketika berusia 32 tahun dipercayai berpunca terlebih minum air, lapor Sputnik.

Selepas hampir 50 tahun kematian pelakon yang mencipta nama menerusi filem ‘Fist of Fury’, penyelidik merumuskan bahawa Lee meninggal dunia disebabkan ‘kegagalan buah pinggang mengeluarkan air berlebihan’.

Walau bagaimanapun, punca awal kematian pelakon tersebut dipercayai akibat edema serebrum atau bengkak otak selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di pangsapuri milik rakannya yang juga pelakon Taiwan, Betty Ting Pei.

Namun, kajian baharu mendapati Lee pernah mempunyai sejarah kecederaan buah pinggang, pengambilan alkohol, ganja, darah rendah dan pengambilan cecair ‘kronik’ yang berisiko menyumbang kepada hiponatremia atau kepekatan natrium yang rendah dalam darah.

“Kami membuat hipotesis bahawa Bruce lee meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang iaitu ketidaupayaan untuk mengeluarkan air mencukupi bagi mengekalkan hemeostasis air.

“Kes ini boleh menyebabkan hiponatremia, edema serebrum dan kematian dalam tempoh beberapa jam jika melakukan pengambilan air berlebihan yang tidak serasi dengan perkumuhan dalam air kencing,” menurut kertas kajian itu yang disiarkan dalam Clinical Kidney Journal edisi Disember 2022.

Pada tahun 1973, Lee dilaporkan pernah rebah di sebuah studio filem di Hong Kong semasa berlakon dalam filem ‘Enter the Dragon’.

Namun beberapa bulan kemudian, dia mengadu mengalami sakit kepala di rumah Ting Pei dan ditemui tidak sedarkan diri selepas mengambil ubat penahan skit Equagesic.

Lee disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Hong Kong. – Agensi