Data peribadi penerima e-dompet Wavpay selamat, dilindungi

in Edisi by

Amirudin

SHAH ALAM – Data peribadi penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Skim Insurans Am Selangor (Insan) di aplikasi e-dompet Wavpay adalah selamat dan dilindungi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, aplikasi disediakan syarikat Wavpay Systems Sdn Bhd itu adalah di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) dan tertakluk kepada pematuhan ketat terhadap polisi pengurusan maklumat pelanggan selain mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Pangkalan data pengeluar e-duit bawah kawal selia BNM adalah diwajibkan untuk memenuhi ciri keselamatan teknologi maklumat yang diwajibkan bagi memastikan keselamatan pangkalan data daripada pencerobohan.

“Secara asas, segala data-data dan maklumat yang dikumpulkan itu menjadi milik kerajaan negeri sebagai pemegang antara saham dan syaratnya serta selain itu ia perlu patuhi kriteria BNM untuk memastikan keselamatan data perlindungan maklumat,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu

Amirudin menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berhubung jaminan keselamatan data peribadi dan transaksi penggunaan sistem Wavpay yang digunakan kerajaan negeri Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga merupakan ADUN Sungai Tua turut mengingatkan pengguna aplikasi itu supaya bertanggungjawab dengan tidak berkongsi maklumat diri kepada orang lain dan memastikan kata laluan digunakan adalah selamat.