Kemelut politik tidak halang Bursa Malaysia ditutup tinggi

in Bisnes by

Bursa Malaysia

BURSA Malaysia menamatkan penyusutan selama tiga hari berturut-turut pada Rabu biarpun dalam senario politik tempatan yang tidak menentu ketika pelabur terus menunggu minit-minit mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bagi mendapatkan petunjuk berkaitan kenaikan kadar faedah oleh negara maju tersebut.

Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.21 mata kepada paras harian tertinggi 1,443.5 berbanding 1,441.29 pada Selasa.

Indeks petunjuk utama yang dibuka susut 9.39 mata pada 1,431.9 pagi ini, menyaksikan aliran tidak menentu malah turut mencecah paras serendah 1,41,431.61 berikutan sentimen di pasaran di tengah-tengah kemelut pemilihan perdana menteri ke-10 Malaysia yang belum tamat.

Namun, peningkatan diraih saham-saham Press Metal, Sime Darby Plantation, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare ternyata membantu menyuntik sokongan terhadap indeks komposit yang menokok sebanyak 4.838 mata.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung dan rugi tidak jauh berbeza iaitu 389 berbanding 382 manakala 417 kaunter lain tidak berubah, 1,113 tidak diniagakan dan 84 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut ketara kepada 2.68 bilion unit bernilai RM1.63 bilion berbanding 4.57 bilion unit bernilai RM2.11 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menyifatkan spekulasi berterusan yang ketara menyebabkan peserta pasaran lebih memilih untuk tidak mengambil sebarang kedudukan bagi mendapatkan petunjuk lebih jelas.

“Kami menjangkakan sentimen lebih menjurus kepada berhati-hati untuk beberapa hari akan datang sehingga keadaan lebih jelas (membabitkan perkembangan politik semasa),” katanya kepada Bernama.

Beliau turut mengunjurkan FBM KLCI akan berlegar dalam jajaran sekitar 1,430 dan 1,450, esok.

Dalam pada itu, satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Perdana Menteri kerajaan sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tersebut yang turut membabitkan ahli Parlimen yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), akan terus menjalankan tanggungjawab tersebut.

Beliau berkata, sesi khas sidang Dewan Rakyat akan diadakan bagi pembentangan semula Bajet 2023 agar gaji kalangan penjawat awam dapat dibayar sebelum 31 Disember ini sekiranya kerajaan baharu masih belum dibentuk.

Sementara itu di pasaran tempatan menyaksikan saham-saham wajaran tinggi seperti Maybank meraih satu sen kepada RM8.55, Petronas Chemicals menokok lapan sen kepada RM8.78, IHH Healthcare untung tujuh sen kepada RM5.99 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.51.

Public Bank sebaliknya susut satu sen kepada RM4.28, Tenaga kehilangan dua sen to RM8.42 manakala Hong Leong Bank rugi lapan sen kepada RM20.48.

Bagi saham aktif, Advance Synergy turun susut setengah sen kepada 17.5 sen, Eden meraih 1.5 sen kepada 19 sen, Malayan United tidak berubah pada 10 sen manakala di Pasaran ACE, ECA Integrated melonjak 58.5 sen kepada 75.5 sen dengan sejumlah 144.45 juta saham saling berpindah tangan.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 19.06 mata kepada 10,266.22, Indeks FBMT 100 menambah 20.8 mata kepada 9,997.43, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 37.47 mata kepada 10,416.73, FBM 70 meraih 47.61 mata kepada 12,251.24 dan FBM ACE meningkat 1.3 mata kepada 4,973.73.

Dari segi sektor pula, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.01 mata kepada 179.86, Indeks Tenaga meningkat 14.58 mata kepada 743.86 dan Indeks Perladangan meraih 25.47 mata kepada 6,867.69.

Indeks Perkhidmatan Kewangan bagaimanapun berkurangan 3.7 mata kepada 16,168.21.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.84 bilion saham bernilai RM1.33 bilion daripada 3.94 bilion saham bernilai RM1.94 bilion pada Selasa.

Waran pula mencatat perolehan yang berkurangan kepada 259.02 juta unit bernilai RM48.58 juta daripada 320.19 juta unit bernilai RM58.11 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 583.73 juta saham bernilai RM256.22 juta daripada 312.46 juta saham bernilai RM115.94 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 860.59 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (286.44 juta), pembinaan (35.04 juta), teknologi (90.1 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (57.06 juta), hartanah (112.99 juta), perladangan (23.39 juta), REIT (5.28 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (112.74 juta), penjagaan kesihatan (62.21 juta), telekomunikasi dan media (16.61 juta), pengangkutan dan logistik (29.33 juta) serta utiliti (149.23 juta). – Bernama