Kes denggi di Johor meningkat lebih 100 peratus

in Edisi Johor by

Masyarakat diminta membersihkan kawasan masing-masing dengan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi. -Gambar hiasan 123RF.

JOHOR BAHRU – Kes denggi di Johor meningkat sebanyak 108.2 peratus apabila merekodkan 3,306 kes bagi Minggu Epid ke-46 iaitu dari 13 hingga 19 November lalu, berbanding 1,588 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, daripada jumlah kes yang dilaporkan, 1,139 kes atau 34.5 peratus dilaporkan dari lokaliti wabak manakala 2,167 kes (65.5 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

“Pada Minggu Epid 46 sebanyak 137 kes demam denggi telah dilaporkan. Bilangan ini menurun sebanyak 13.8 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya iaitu Minggu Epid 45 (159 kes).

“Tiada kes kematian dilaporkan pada Minggu Epid 46 bagi seluruh Johor. Kumulatif kes kematian denggi sehingga Minggu Epid 46 adalah dua kes berbanding empat kes pada tempoh yang sama tahun lalu iaitu penurunan 50 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pada Minggu Epid 46, 15 lokaliti wabak baharu dilaporkan di seluruh Johor iaitu di Johor Bahru dan 34 lokaliti wabak aktif juga dilaporkan di Johor Bahru.

Tian Soon memberitahu, jumlah terkumpul lokaliti wabak di negeri ini pada ini sehingga Minggu Epid 46 adalah 374 berbanding 153 dalam tempoh yang sama pada lalu iaitu peningkatan sebanyak 144.4 peratus.

Katanya, daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang Minggu Epid 45 pula, sebanyak 30 kes (21.9 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 107 kes (78.1 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

Daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru yang menyumbang sebanyak 107 kes atau 78.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes diikuti Kulai (15 kes, 10.9 peratus) dan Pontian (8 kes, 5.8 peratus).

Jelasnya, ini diikuti Segamat dan Kota Tinggi masing-masing melaporkan dua kes (1.5 peartus) serta Kluang, Tangkak dan Mersing masing-masing melaporkan satu kes (0.7 peratus).

“Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) terus dijalankan anggota kesihatan di dalam dan luar rumah. Penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan dalam rumah menunjukkan masyarakat masih lagi belum peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko untuk pembiakan nyamuk Aedes.

“Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan telah pun mengeluarkan 4,482 kompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM2,288,600 ditawarkan. Daripada jumlah tersebut 67.2 peratus telah membayar kompaun,” ujar beliau.

Berkenaan situasi Covid-19 di negeri ini, beliau berkata, sehingga 5 November lalu secara kumulatif terdapat 396,513 kes yang telah dilaporkan dengan 393,544 adalah jangkitan tempatan manakala baki 2,969 adalah kes import.

Beliau menambah, kes yang masih aktif adalah 2,374 dan daripada jumlah itu 2,200 (92.7 peratus) menjalani kuarantin di rumah, 174 (7.3 peratus) di masukkan ke dalam hospital termasuk lima dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Pola pelaporan Covid-19 bagi Johor dalam tempoh beberapa bulan ini tidak menunjukkan peningkatan yang mendadak. Penggunaan katil Covid-19 masih berada di bawah kadar 8.0 peratus,” katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor katanya, mengambil maklum laporan dalam akhbar dan sosial media berkaitan Subvariant baru XBB.1 di Singapura baru-baru ini yang dikaitkan juga dengan peningkatan kes Covid-19 di republik itu.

“Sehingga kini tiada pelaporan mengenai Subvariant XBB.1 diterima dalam sistem survelans Kementerian Kesihatan Malaysia, namun Jabatan Kesihatan Negeri Johor sentiasa peka dan memantau perkembangan dari masa ke semasa,” ujarnya.