Kisah inai biru di jari telunjuk

in Pojok by

Pengundi muda menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat kekal selepas menjalankan tanggungjawab mengundi bagi PRU15. – Foto Bernama

TANGGAL 19 November lalu, kira-kira 21.1 juta rakyat Malaysia yang layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PRU15 kali ini merupakan proses demokrasi yang cukup menarik apabila kira-kira 1.3 juta pemilih berusia 18 hingga 20 tahun seluruh negara layak mengundi dan mereka ini generasi paling muda dalam kalangan pengundi.

Rentetan itu, sejak jam 8 pagi pada Sabtu lalu, Merak Jalanan perhatikan berduyun-duyun status WhatsApp, video di TikTok, YoutTube mahupun dalam laman Facebook, masing-masing bersemangat menayangkan jari telunjuk.

Pelbagai aksi ditayangkan bersama subjek utama iaitu jari telunjuk berwarna biru kehitaman di status masing-masing bersama kapsyen #PRU15.

Meriah pula sistem demokrasi negara kita kali ini dan ditambah pula pelbagai promosi dan minuman percuma kepada mereka yang mengundi. Tetapi dengan syarat, pelanggan wajib menunjukkan jari telunjuk ‘berinai biru’.

Paling terkini, Merak Jalanan baru tahu kesan dakwat di jari telunjuk itu sebenarnya boleh dihilangkan dengan mencelup di dalam sejenis cecair. Itu pun maklumat dari TikTok. Tapi di sebalik kemeriahan itu, Merak Jalanan masih tertanya-tanya, ke manakah perginya lagi lima juta rakyat Malaysia yang tidak mengundi itu?

Ikut maklumat SPR, hanya 71 peratus yang betul-betul hadir memangkah calon kesukaan mereka. Mana lagi 23 peratus rakyat kita?

Nak dijadikan cerita, sehari selepas berlangsungnya PRU15, Merak Jalanan terserempak dengan seorang rakan yang agak lantang bercakap mengenai hal-hal politik negara.

Katanya, rakyat Malaysia dah tersalah pilih dan tidak belajar daripada kisah lalu. Lalu Merak Jalanan pun bertanya sama ada dia mengundi atau tidak. Itu kerana tiada inai biru di jari telunjuknya.

Lucunya, si fulan ini menjawab dia mengundi pos di saluran dua. Merak Jalanan terus tepuk dahi, sebab mana ada ‘saluran’ kalau mengundi pos!