Pencemaran udara: Pelajar sekolah Iran diarah duduk di rumah

in Global by

Pencemaran udara di Teheran amat membimbangkan sehingga menyebabkan 4,400 kematian setiap tahun. – Foto Agensi

TEHERAN – Pelajar di seluruh sekolah di ibu negara Iran diberitahu supaya tinggal di dalam rumah kerana paras pencemaran udara meningkat secara mendadak.

“Berikutan keputusan jawatankuasa pemantauan ibu negara, semua kelas di wilayah Teheran akan menjalani pembelajaran atas talian pada hari Rabu kecuali di bandar Pardis, Firouzkoh dan Damavand,” kata Timbalan Gabenor, Abed Maleki kepada agensi berita ISNA.

“Menurut ramalan, keadaan ini akan berterusan sehingga Khamis,” tambah Abed.

Difahamkan, sekolah rendah di ibu negara sudah ditutup sejak Isnin lalu.

Teheran mengalami pencemaran udara kronik dan ia bukan kali pertama pelajar sekolah diberitahu supaya tinggal di dalam rumah.

Pada Mei lalu, Kementerian Kesihatan berkata, pihaknya menganggarkan pencemaran mengakibatkan 4,400 kematian setiap tahun. – AFP