Perak bentang bajet, RUU Anti Lompat Parti bulan depan

in Edisi Perak by

Saarani Mohamad

IPOH – Bajet Negeri Perak 2023 akan dibentangkan pada 19 Disember depan ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Pertama Dewan Negeri ke-15.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kertas cadangan Bajet Negeri 2023 tersebut telah dipersetujui dan diluluskan secara sebulat suara di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang pertama pada Rabu.

Beliau berkata, selain pembentangan bajet di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan, Sidang DUN pertama nanti juga akan turut membentangkan RUU lain termasuk Anti Lompat Parti.

“Ada beberapa RUU yang akan dibentang pada Sidang DUN pertama nanti iaitu pertama, RUU Perbekalan. Kedua Akta Anti Lompat Parti yang dibawa bersama.

“Pembentangan RUU Anti Lompat Parti akan ada perbahasan dan penggulungan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco Kerajaan Negeri Perak di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Rabu.

Sementara itu, hari pertama Sidang DUN akan bermula dengan upacara mengangkat sumpah jawatan Speaker DUN Perak.

Menurutnya, pada hari kedua, Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Tahun Pertama Dewan Negeri ke-15 akan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara itu, Saarani berkata, pada mesyuarat exco tersebut turut bersetuju mencalonkan Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid sebagai Speaker DUN Perak.