'PN atau PH' Majlis Tertinggi BN akan tentukan

in Politik by

Rundingan mengenai sama ada BN akan bersama PH atau PN adalah keputusan Majlis Tertinggi BN.

SHAH ALAM – Rundingan mengenai sama ada Barisan Nasional (BN) akan bersama Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) adalah keputusan Majlis Tertinggi BN.

Difahamkan, BN telah membentuk sebuah jawatankuasa terdiri daripada tujuh perunding yang diketuai oleh Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Pengerusi, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Datuk Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr Zamri Abdul Kadir; Datuk Seri M Saravanan serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu rundingan BN dengan PH serta BN dan PN juga sudah selesai dan difahamkan pada malam ini, Mohamad akan bawa keputusan ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk pandangan ahli majlis.

Selain itu keputusan tersebut juga dikatakan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada Khamis seterusnya dibentangkan kepada 30 ahli Parlimen BN.

Ketika rundingan bersama PH, Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri dipercayai tidak terlibat dan rundingan dengan PN pada Rabu tidak dihadiri Ahmad Zahid kerana beliau demam dan diketuai oleh Mohamad.

Dalam pada itu turut dimaklumkan, semua keputusan yang diperolehi nanti akan ditentukan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan BN.

Ketika ini Sinar Harian masih cuba mendapatkan pengesahan daripada pimpinan tertinggi BN mengenai perkara tersebut.