Saarani ketuai portfolio kewangan, tanah

in Edisi Perak by

Saarani bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco Kerajaan Negeri Perak di Pejabat Menteri Besar Perak, pada Rabu.

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengetuai portfolio Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC dalam pembentukan kerajaan baharu BN dan Pakatan Harapan (PH).

Portfolio berkenaan adalah jawatankuasa sama yang pernah dipegang beliau selepas dilantik menerajui kerajaan negeri menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada tahun 2020.

Mengumumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Exco) yang baharu pada Rabu, Saarani memaklumkan, semua barisan yang disenaraikan merupakan gabungan pemimpin berpengalaman dan muda termasuk mereka yang pernah menjadi Exco sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun dipertanggungjawabkan sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan manakala ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam).

ADUN Sungkai, A Sivanesan memegang Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India; ADUN Jalong, Loh Sze Yee (Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor) dan ADUN Temengor, Salbiah Mohamed (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan).

Portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau diketuai ADUN Aulong, Teh Kok Lim; ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching (Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan); ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan).

ADUN Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi (Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO) dan ADUN Pasir Bedamar, Woo Kah Leong (Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina).

Daripada semua Exco dilantik, Zolkafly, Mohammad Nizar dan Sivanesan, masing-masing pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, sementara tujuh yang lain merupakan lantikan baharu bagi jawatan berkenaan.

Barisan 10 Exco berkenaan terbentuk daripada kerjasama BN dan PH yang bersetuju untuk bergabung membentuk kerajaan negeri dengan BN diwakili tiga ADUN, DAP (4), Parti Keadilan Rakyat (2) dan seorang daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Pada Selasa, kesemua mereka telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.