Selangor lulus 689 projek bernilai RM30.82 bilion sehingga Jun

in Edisi by

Teng Chang Khim

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meluluskan sebanyak 689 projek perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM30.82 bilion bagi tempoh 2020 sehingga Jun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM19.16 bilion adalah daripada pelaburan tempatan.

Menurutnya, sebanyak RM11.66 bilion pula adalah daripada pelaburan asing sementara sebanyak 39,287 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan di negeri berkenaan.

“Jenis sektor industri yang menjadi fokus untuk pelabur pula adalah sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, pembuatan produk elektrik dan elektronik dan kelengkapan pengangkutan serta mesin dan peralatan.

“Selain daripada itu, terdapat dua industri baharu turut dikenal pasti dan berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan iaitu perkhidmatan logistik dan pelaburan digital seperti Global Business Services (GBS), Data Centre dan Creative Content Technology,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizebeth Wong berhubung jumlah pelaburan yang diterima kerajaan negeri sejak 2020 sehingga sekarang dan apa jenis sektor industri yang menjadi fokus untuk pelabur.

Chang Khim menambah, pihak Invest Selangor ketika ini juga sedang melaksanakan kajian bagi menilai semula sektor-sektor yang menjadi tumpuan sebelum ini dan meneroka sektor baharu yang berpotensi dan menjadi kekuatan Selangor untuk dipromosikan di masa hadapan dalam usaha menarik pelaburan.