Tarian samba Brazil rai gol

in Sukan by

Telatah pemain Brazil, dari kanan, Raphinha, Neymar dan Lucas Paqueta menari bagi meraikan jaringan menarik perhatian peminat bola sepak. – Foto Agensi

BRAZIL yang terkenal dengan corak permainan samba sudah bersedia untuk mempersembahkan ‘tarian’ bagi meraikan jaringan pada Piala Dunia Qatar 2022.

Bakal turun menentang Serbia pada aksi sulung Kumpulan G di Stadium Lusail awal pagi Jumaat, juara dunia lima kali itu berharap mereka dapat membuat banyak tarian.

“Saya terus terang kepada anda, kami mempunyai pelbagai jenis tarian walaupun sehingga 10 jaringan,” ujar penyerang Brazil, Raphinha ketika sidang akhbar pada Rabu.

Beliau memberitahu, skuad Brazil mempunyai 10 jenis tarian dengan setiap gol akan diraikan dengan ‘gelek’ yang berbeza.

“Satu untuk jaringan pertama, tarian kedua untuk gol kedua dan seterusnya. Jika kami jaring lebih 10 gol, kami perlu mencipta tarian baharu,” ujar Raphinha.

Brazil membawa skuad lebih agresif ke Qatar dengan Raphinha antara sembilan penyerang dipilih oleh jurulatih, Tite bagi memburu gelaran Piala Dunia pertama sejak dua dekad lalu.

Sebagai rekod, pemain sayap Brazil, Vinicius Junior pada awal tahun ini terbabit kontroversi dengan tariannya ketika beraksi bersama Real Madrid.

Dia dan rakan sepasukan Rodrygo terus menari walaupun berdepan kritikan di Sepanyol dan akan terus berbuat demikian bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia.

Raphinha dan Neymar antara yang menyokong tindakan Vinicius, manakala Richarlison, penjaring terbanyak Brazil tahun ini berharap jaringan akan terhasil untuknya dan rakan sepasukan di Qatar.

“Apabila anda memakai jersi nombor 9 bersama skuad Brazil, apa yang anda lakukan hanyalah memburu gol.

“Bersama rakan sepasukan seperti ini, saya yakin jaringan akan datang,” ujar Richarlison.

Penyerang lain yang disenaraikan Tite ialah Pedro, Antony, Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli.

Richarlison, Raphinha dan Neymar dijangka diturunkan menentang Serbia tetapi belum dipastikan taktikal serangan yang akan dipraktiskan Tite.

Selepas menentang Serbia, Brazil akan membuat perhitungan dengan Switzerland dan Cameroon dalam aksi Kumpulan G.