Tun M mahu tumpu tulis sejarah, aktiviti negara

in Politik by

Dr Mahathir

SHAH ALAM – Selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi tumpuan kepada penulisan berkaitan sejarah dan aktiviti dalam negara.

Beliau yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi itu berkata, banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkodkan termasuk ketika zaman British.

“Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis,” ujarnya di Facebook pada Rabu.

Pada PRU15, Dr Mahathir menjadi antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi.

Beliau yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) hanya memperoleh sebanyak 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Selain itu, anak beliau iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Marzuki Yahya juga gagal merampas kerusi Jerlun dan Sungai Petani.

“Saya sebagai pengerusi Pejuang sedih. Tetapi saya terima pilihan rakyat.

“Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan.

“Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugurkan. Yang boleh dilakukan oleh Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang” jelasnya.

Tambah beliau lagi, Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan Malaysia akan dapat memulihkan segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.