Wanita warga Indonesia dijel enam bulan pukul kucing

in Politik by

Hotimah (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu, bagi menghadapi pertuduhan kes memukul seekor kucing jantan hingga mati Ogos lalu.

PETALING JAYA – Seorang wanita warga Indonesia rebah dalam kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas dihukum penjara enam bulan kerana memukul seekor kucing jantan hingga mati Ogos lalu.

Peniaga pisang goreng, Hotimah, 60, yang turut menangis dihukum penjara bermula Rabu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, wanita itu selaku orang kena saman (OKS) didakwa dengan kejamnya memukul kucing jalanan menggunakan batang penyapu di kedai tidak bernombor tepi jalan 4/1 Serdang Jaya,di sini pada jam 7.46 pagi, 20 Ogos lalu.

Atas pertuduhan itu, OKS dituduh mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum bawah Seksyen 29 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan menghidap penyakit jantung.

“Minta maaf, saya sudah tua dan mengaku sudah melakukan kesalahan.

“Sekarang, saya ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Kemayan, Pahang dan tidak tahu bila akan dihantar pulang ke Indonesia,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran berkata, tindakan OKS memukul kucing menggunakan penyapu hingga mati adalah sangat kejam.

“Haiwan itu tidak mengganggu atau merosakkan hartanya, maka pendakwaan memohon, dia dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran selain memberi mesej kepada masyarakat agar tidak menganiaya haiwan,” katanya.

Mengikut fakta kes, semasa menjalankan kerja pembersihan di sebuah premis, terdapat seekor kucing di atas kerusi, kemudian OKS telah memukul kucing tersebut menggunakan sebatang penyapu.

Orang awam yang menyaksikan peristiwa itu telah membuat laporan polis.

Hasil bedah siasat mendapati, terdapat kesan retakan pada tengkorak di bahagian kiri kepala kucing tersebut.