15 pasukan sahut cabaran Piala Mirnawan 2022

in Sukan by

Shamala (kiri) dan Ahmad Shapawi selepas pelancaran kejauraan berkenaan pada Khamis. – Foto Malaysian Hockey Confederation

SEBANYAK 15 pasukan dari dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan pada edisi sulung Kejuaraan Hoki Antarabangsa Program Pembangunan Hoki Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula Sabtu ini hingga 2 Disember depan.

Kejohanan yang juga dikenali sebagai Piala Mirnawan 2022 sempena nama bekas kapten skuad kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi itu dianjurkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).

Timbalan Presiden KHM, Profesor Datuk Dr S Shamala berkata, kategori lelaki Bawah (B)-17 tahun menarik penyertaan lima pasukan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) dan tiga pasukan antarabangsa dari India, Jepun dan Singapura.

Bagi kategori wanita B-14 pula melibatkan lima penyertaan pasukan NHDP dan dua pasukan dari India dan Singapura.

Shamala berkata, kejohanan antarabangsa yang diperkenalkan itu mampu menjadi pentas mencungkil bakat baharu buat pemain hoki muda negara dalam usaha mencari pelapis yang mampu meneruskan aksi terbaik di peringkat antarabangsa.

“Harapan KHM adalah NHDP ini mampu menjadi sumber penghasilan pemain untuk skuad kebangsaan, sebab kami percaya untuk ada skuad kebangsaan yang bagus, kita kena ada kelompok pemain berkelayakan. Dalam masa sama, kami juga berharap ini menjadi tapak buat pemain muda negara membina masa depan mereka.

“Saya rasa ia menjadi sejarah apabila pasukan India, Singapura dan Jepun mengesahkan penyertaan mereka. Saya tidak boleh bayangkan pada usia 14 tahun, pemain boleh beraksi dengan pemain terkemuka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran piala berkenaan pada Khamis.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan pemain yang menampilkan prestasi cemerlang pada kejohanan itu, berpotensi untuk dipanggil mewakili negara pada Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) pada November tahun depan, jika barisan jurulatih terpikat dengan aksi mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kejohanan antarabangsa itu adalah usaha berterusan daripada pihaknya dalam memastikan pasukan hoki negara tidak ketandusan bakat yang mampu menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa.

Katanya, MSN sehingga kini memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi mengadakan 12 program hoki pada tahun ini.