Alternatif wujudkan kerajaan minoriti

in Nasional by

SHAH ALAM – Langkah mewujudkan kerajaan minoriti mungkin boleh dicuba sekiranya tiada cara lain untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ia antara alternatif yang mungkin boleh difikirkan walaupun menyedari ia mempunyai kesan sampingan kepada negara.

“Kerajaan minoriti ini mempunyai kesan sampingan yang sukar dan kadangkala tidak membawa kebaikan kepada negara akibat ketidakstabilan yang wujud. Namun, jika tidak ada alternatif lain mungkin kerajaan minoriti itu boleh dicuba.

“Tetapi, dengan syarat kita mendapatkan semua ahli Parlimen dan semua parti membantu khsususnya dalam meluluskan Bajet 2023.

“Itu (Bajet 2023) adalah satu halangan yang amat penting. Jika tidak dilepasi halangan tersebut, maka kita tidak boleh laksanakan kerajaan kerana kerajaan tidak ada duit,” katanya katanya dalam rancangan Wacana Sinar siri 372, Pasca PRU15: Ke arah politik stabil atau sebab kuasa yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada masa sama, beliau turut melihat cadangan kerajaan perpaduan adalah sesuatu yang baik namun sukar untuk dilaksanakan.

“Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin buat sidang media dan menyatakan kedua-dua pihak tidak bersetuju untuk buat kerajaan perpaduan. PH dan PN sukar untuk bersama kerana mempunyai ideologi dan fahaman yang berlainan,” katanya.

Menurutnya, jika cadangan kerajaan minoriti dan perpaduan itu tidak berjaya, maka pemilihan Perdana Menteri oleh kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas memanggil setiap ahli Parlimen.

“Istana Negara melaksanakan dengan memanggil setiap ahli Parlimen untuk nyatakan siapa yang mereka sokong sebagai Perdana Menteri.

“Apabila sudah dapat satu jumlah yang kukuh, maka dilantik Perdana Menteri itu dengan syarat Perdana Menteri dan kerajaan baharu hendaklah melaksanakan undi percaya di Dewan Rakyat,” katanya.