Anwar PM: Penantian jentera parti berakhir

in Politik by

Dari kiri: Nor Azman, Kenny Chiew Chi Kin, Mohamad Hafiz, Md Sani

SEREMBAN – Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 telah menamatkan penantian jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melihat presiden parti itu memimpin negara.

Naib Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Kenny Chiew Chi Kin berkata, bukan saja Anwar yang menanti dirinya untuk menjadi Perdana Menteri tetapi juga ahli parti.

“Kita tahu dia (Anwar) layak untuk menjadi Perdana Menteri dan dengan pelantikannya itu saya percaya jentera parti akan jadi lebih bersemangat untuk bekerja selepas ini.

“Sebelum ini kita sekadar bercakap sahaja akan kemampuan dia sebagai pemimpin, dan kali ini kita akan dapat melihat bagaimana tokoh reformasi itu akan menerajui negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad berkata, perjuangan reformasi yang diasaskan Anwar sejak tahun 1998 telah berakhir apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Katanya, kini adalah masa untuk setiap pemimpin parti bekerja dan membuktikan tekad untuk berkhidmat demi rakyat.

“Menjadi hasrat rakyat melihat Anwar menjadi Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi secara total dalam pentadbiran negara secara keseluruhannya.

“Saya percaya rakyat meletakkan kepercayaan tinggi kepada Anwar untuk melihat perubahan dilakukan secara segera, tetapi kita perlu akui ada yang boleh dibuat dalam tempoh 100 hari dan ada lima tahun,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berharap dalam tempoh lima tahun mandat diberi, tiada berlaku lagi sebarang pengkhianatan.

Selain itu, Ketua Cabang PKR Rembau, Mohamad Hafiz Mohamad berkata, penantian 24 tahun Anwar menegakkan reformasi selain berdepan pelbagai ujian disifatkan berbaloi.

Ujarnya, bukan calang-calang orang yang mampu melalui semua itu hanya semata-mata demi rakyat.

“Akhirnya kita dapat hantar satu suara sebagai penggerak untuk agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini supaya ia boleh dilaksanakan secara total,”katanya.

Naib Ketua Cabang PKR Rembau, Md Sani Md Shah berkata, bukan saja ahli parti, tetapi juga dunia boleh melihat ketokohan Anwar untuk menjadi pemimpin pertama negara.

“Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri, itu yang dinanti-nantikan oleh ramai selama ini. Ramai nak tengok macam mana coraknya bila Anwar jadi Perdana Menteri

“Saya harap kita semua dapat memberi beliau peluang dan saya percaya beliau mampu memberikan yang terbaik,” katanya.