Final Piala Malaysia: FAM beri jaminan tiada isu pengadilan

in Sukan by

Noor Azman Rahman – Foto FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memastikan aksi final Piala Malaysia berjalan lancar tanpa sebarang isu pengadilan.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pihaknya akan melantik pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam kalangan warga tempatan bagi mengadili perlawanan tersebut.

“Kita telah senaraikan pengadil terbaik dan pengadil itu akan bertaraf FIFA. Jadi saya rasa perlawanan final akan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada majlis kerjasama penajaan antara FAM dan PUMA di Shah Alam.

Untuk rekod, badan induk itu kini memiliki enam pengadil FIFA iaitu Razlan Joffri Ali, Amirul Izwan Yaacob, Mohd Nazmi Nasaruddin dan Suhaizi Sukri.

Dua lagi pengadil adalah Tuan Mohd Yaasub Tuan Mohd Hanafiah dan Usaid Jamal.

Terdahulu, FAM menjalin kerjasama penajaan dengan PUMA yang menyaksikan PUMA akan menaja bola pertandingan di bawah kelolaan badan induk itu.

Bola PUMA Orbita FAM 2 itu akan digunakan bagi pertandingan Piala Belia, Piala Presiden, Liga Wanita Nasional (LWN) serta Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) musim 2023.